KUALA LUMPUR – Pelumba Moto3 negara, Muhammad Danish Hakim Ramli mempamerkan aksi cukup baik pada Grand Prix (GP) Portugal apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-12.
Pada perlumbaan yang berlangsung di Litar Antarabangsa Algarve, Portimao sebentar tadi, Danish bermula di petak ke-17 sebelum memintas beberapa pelumba yang lain.
Menerusi kedudukan tersebut, Danish boleh dianggap menampilkan aksi cukup membanggakan, lebih-lebih lagi dia turut meraih empat mata.
Meskipun cuba memintas beberapa pelumba lain di hadapan, namun pengalaman menjadi pemisah apabila dia terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan di tempat ke-12.
Pelumba kelahiran Kuala Terengganu itu memiliki satu lagi peluang untuk menguji jentera pasukan MSi Racing apabila bakal menggalas misi pada GP Valencia minggu depan.
Pada perlumbaan sebentar tadi, pelumba pasukan Aspar, Maximo Quiles muncul juara diikuti Angel Piqueras dari pasukan MSi Racing dan pelumba Honda Team Asia, Taiyo Furusato.
Terdahulu, Danish dipanggil menjadi pelumba gantian bagi dua perlumbaan terakhir musim ini, menggantikan Ryusei Yamanaka yang baru sahaja menjalani pembedahan jari.
Dua perlumbaan itu dianggap sebagai peluang terbaik untuk Danish menyesuaikan diri dengan jentera sebelum beraksi secara sepenuh masa bersama MSi Racing musim depan. – KOSMO! ONLINE














