SINTOK – Kumpulan migran warga Myanmar dan Bangladesh yang ditemui hanyut di perairan Langkawi selepas bot dinaiki karam mendakwa mereka membayar antara RM13,500 hingga RM15,000 kepada sindiket untuk masuk ke Malaysia.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, hasil temu bual awal, migran mendakwa mereka membayar kira-kira 400,000 Taka atau sekitar RM13,500 kepada sindiket bagi tujuan tersebut.
“Ada yang mendakwa membuat bayaran secara ansuran, bila cukup baru dibenarkan naik kapal, selain ada yang mendakwa akan bayar selepas mendarat dan bekerja di sini. Namun semua dakwaan itu kita masih siasat lanjut,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Katanya, mereka dipercayai sanggup menjual harta benda, binatang ternakan, rumah dan tanah di kampung bagi mendapatkan wang dalam jumlah yang besar itu.
“Daripada siasatan awal, kita tanya mangsa mereka memang menghala ke Malaysia untuk mencari kehidupan yang lebih baik,” ujarnya.
Ketika ditanya mengenai sindiket tersebut, beliau memberitahu, siasatan lanjut sedang dijalankan berhubung perkara itu dengan maklumat yang diperoleh daripada migran masih belum konsisten.
“Dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), kita ada pelbagai jabatan termasuk Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM). Kita juga akan membuat kerjasama dua hala dengan polis negara jiran,” jelasnya.
Katanya, siasatan juga masih dilakukan berhubung jumlah sebenar mangsa di dalam bot yang didakwa karam kerana terdapat beberapa versi cerita berdasarkan temu bual yang dilakukan.
“Daripada cerita yang dimaklumkan kepada kita, mangsa mendakwa mereka terapung selama tiga hingga empat hari dalam keadaan sangat lemah.
“Mereka juga memaklumkan bahawa perjalanan dari Myanmar mengambil masa sebulan berlayar sebelum tiba berhampiran perairan negara. Mereka kemudian diturunkan daripada ‘mother boat’ menggunakan tiga bot kecil.
“Mereka kata setiap satu bot kecil membawa lebih kurang 90 hingga 100 orang. Dua bot lagi tidak diketahui ke mana, tidak nampak tenggelam selepas mengikut haluan masing-masing,” ujarnya.
Katanya, siasatan awal percaya bot berkenaan karam dipercayai akibat terlebih muatan.
Tambahnya, pihaknya meminta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk mengesahkan koordinat sebenar lokasi kejadian dan setakat ini, maklumat diberikan mangsa menyatakan ia berlaku di sempadan Thailand. – KOSMO! ONLINE














