PETALING JAYA – Pasukan Specialised Care Team 6 (SCT 6) Mercy Malaysia yang kini berada di Gaza berdepan kekangan ketara melibatkan kekurangan peralatan perubatan, kelengkapan pembedahan serta ubat-ubatan, selain terus beroperasi dalam keadaan keselamatan yang masih berada pada tahap bahaya.
Presiden Mercy Malaysia, Datuk Dr. Ahmad Faizal Mohd. Perdaus berkata, walaupun gencatan senjata sementara telah mengurangkan jumlah serangan, ancaman keselamatan tetap berlaku dari semasa ke semasa terutama di sekitar Hospital Al-Shifa, Bandar Gaza yang menjadi lokasi utama penugasan pasukan tersebut.
Beliau berkata, pasukan terdiri daripada enam anggota profesional, merangkumi empat pakar bedah iaitu tiga ortopedik dan seorang pakar bedah am serta dua jururawat pakar dalam bidang perbidanan dan dialisis.
“Misi pasukan SCT 6 ini tertumpu di bidang perubatan dan kesihatan. Keadaan situasi keselamatan masih dalam tahap bahaya dan berisiko tinggi berlaku serangan dari masa ke semasa walaupun sudah berkurangan sejak gencatan senjata,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.
Menurutnya, rawatan diberikan pasukan terbabit meliputi tiga kategori utama iaitu kes pembedahan am dan ortopedik melibatkan kecederaan perang atau penyakit, pesakit materniti dan perbidanan serta pesakit kegagalan ginjal yang memerlukan dialisis.
Beliau turut menekankan isu kekurangan bekalan perubatan sebagai cabaran paling kritikal ketika ini.
“Ada kekangan dari segi kekurangan peralatan perubatan, pembedahan dan juga ubat-ubatan.
“Mercy Malaysia memerlukan lebih banyak dana bagi membolehkan kami menghantar lebih banyak kelengkapan yang sangat diperlukan di Gaza,” jelasnya.
Walaupun berdepan ancaman keselamatan, beliau memaklumkan separuh daripada anggota pasukan SCT 6 mempunyai pengalaman pernah berkhidmat di Gaza bersama pasukan terdahulu, termasuk SCT 1 dan SCT 2, sekali gus membantu mereka menyesuaikan diri dengan keadaan berisiko tinggi di lapangan.
“Setakat ini untuk menjalankan tugas hakiki pasukan di Hospital Al-Shifa, tiada halangan besar seperti sebelum ini, namun halangan pergerakan dan keselamatan di seluruh Gaza masih ada dan agak ketat.
“Pasukan ini akan berada di sana selama dua minggu. Pasukan berikut akan menyusul pada tarikh yang akan ditentukan kelak,” katanya.














