SUNDERLAND – Hasrat Arsenal untuk mengekalkan rekod tanpa bolos dalam sembilan perlawanan berturut-turut tidak kesampaian apabila sekadar seri 2-2 menentang Sunderland pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium of Light awal pagi tadi.
Meskipun kelihatan seakan-akan hampir pasti membawa pulang tiga mata selepas mendahului 2-1 hasil jaringan Bukayo Saka dan Leandro Trossard, namun Brian Brobbey menjadi wira Black Cats selepas meledak gol penyamaan pada minit ke-94.
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengakui sangat kecewa dengan keputusan itu kerana menganggap mereka sudah hampir untuk mendapatkan tiga mata sebelum melepaskan gol tersebut pada masa kecederaan.
“Sudah tentu saya mahukan kemenangan dan kami hampir mendapatkannya. Bagaimanapun, ini adalah pentas EPL dan anda semua tahu bagaimana persaingannya, lebih-lebih lagi bertemu pasukan liat seperti Sunderland.
“Saya kecewa kerana kami sepatutnya bertahan dengan lebih baik kerana hanya satu gol memisahkan kedua-dua pasukan. Tahniah juga kepada pasukan lawan atas apa yang dilakukan hari ini,” katanya.
Pengendali dari Sepanyol itu turut menggesa pemain-pemainnya supaya menjadikan keputusan itu sebagai pengajaran berguna supaya tidak leka selagi pengadil perlawanan tidak meniup wisel penamat.
“Di EPL, mana-mana pasukan tidak boleh leka, terutamanya jika mendahului dengan satu gol. Kami perlu memperbaiki kekurangan ini supaya ia tidak berlaku lagi pada masa hadapan,” ujar Arteta. – AGENSI














