KUANTAN – Solat jamak fardu dua rakaat untuk seumur hidup, selain objek yang didakwa boleh memberi kekayaan seperti tongkat dan kain kuning serta kain hitam.
Itu adalah antara amalan yang dikatakan dilakukan kumpulan ajaran sesat ‘Jemaah Nur Ahmad Istana Pelangi’ di Jerantut.
Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman berkata, susulan itu pihaknya menahan ketua kumpulan berkemaan berumur 45 tahun dan tujuh pengikut kumpulan itu dalam satu serbuan di bekas gudang perabot di Kampung Sungai Putat, di Pulau Tawar, Jerantut kelmarin.
Katanya dalam serbuan kira-kira pukul 2.30 petang itu, pelbagai dokumen disyaki bertentangan dengan ajaran dan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah serta barangan dipercayai berunsur khurafat dirampas.
“Antara dirampas ialah tongkat, ikatan kain kuning dan kain hitam yang didakwa boleh memberi kekayaan serta batu dililit kain kuning.
“Turut dirampas kertas tertulis cara niat solat jamak fardu seumur hidup, nota lafaz selawat dan ikrar meragukan,”katanya di sini, hari ini.
Menurutnya semua rampasan akan dirujuk kepada Jabatan Mufti Pahang untuk penelitian dan siasatan lanjut diakukan termasuk bagi mengesan jumlah pengikut dan sejak bila ajaran itu bermula.
Ahmad Khirrizal berkata, hasil siasatan awal, mendapati ketua kumpulan terbabit berasal dari Kampung Sungai Tekam Utara, Jerantut.
“Hasil soal siasat pengikut kumpulan terbabit berusia antara 45 hingga 66 tahun, berasal berasal dari Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Johor serta Melaka.
“Semua suspek ditahan tidak mempunyai rekod kesalahan syariah tetapi polis sedang menyemak rekod jenayah mereka.
“Semua suspek dibebaskan semalam dengan jaminan pegawai penguat kuasa JAIP sementara menunggu kertas siasatan dilengkapkan untuk didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Jerantut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














