fbpx
Anwar (dua dari kanan) hadir pada Majlis Pelancaran UTC Seberang Perai di Butterworth, petang tadi

UTC Seberang Perai beri manfaat lebih sejuta penduduk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI – Pusat Transformasi Bandar (UTC) Seberang Perai yang beroperasi di Terminal Pengangkutan Penang Sentral, Butterworth di sini bakal memberi manfaat kepada lebih sejuta penduduk Seberang Perai termasuk sempadan selatan Kedah dan utara Perak.

UTC ke-24 negara dan yang kedua di Pulau Pinang itu dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan berkata, penubuhannya dicetuskan melalui pembentangan Ucapan Belanjawan 2025 dan direalisasikan hasil kerjasama strategik antara MOF dan kerajaan Pulau Pinang.

“Inisiatif ini mencerminkan aspirasi Malaysia Madani dalam membawa perkhidmatan kerajaan lebih dekat kepada rakyat, menjimatkan masa dan kos perjalanan serta meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat.

“Penubuhan UTC Seberang Perai menjadi penanda aras baharu kepada pusat transformasi bandar di seluruh negara dengan penekanan terhadap prinsip kecekapan, keselesaan dan kemesraan pengguna.

“Ia juga melambangkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam secara lebih efisien, moden dan berimpak tinggi,” katanya.

UTC Seberang Perai berfungsi sebagai pintu masuk penting ke Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan memperkukuh kedudukan Butterworth sebagai pusat tumpuan sosioekonomi di bahagian Seberang Perai.

Beroperasi setiap hari dari pukul 8 pagi hingga 9 malam dengan menempatkan pelbagai agensi utama termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Klinik Kesihatan dan Pergigian (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Antara kemudahan nilai tambah yang disediakan adalah Kiosk Sentuhan Madani (KSM), Hab Informasi Bantuan Tunai (Individu) yang mengurus pelbagai bantuan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (Sara), Budi Madani RON95 (Budi95) dan bantuan-bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)

Turut diperkenalkan adalah Hab Kerjaya Sektor Awam-Swasta, hasil kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan MyFutureJobs yang membuka peluang kepada pencari kerja tempatan mendapatkan maklumat dan khidmat nasihat kerjaya secara terus.

Daripada segi kemudahan operasi, UTC berkenaan menampilkan Sistem Penggiliran Pintar (Queue Management System – QMS) bersepadu, ruang kerja terbuka dan peralatan moden. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI