PETALING JAYA – Kaedah pengajaran guru perlu ditambah baik agar selaras dengan perkembangan teknologi semasa, khususnya penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam sistem pendidikan negara.
Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, walaupun sistem pendidikan negara berada pada landasan yang baik, pendekatan pengajaran perlu disesuaikan supaya lebih relevan dan berkesan.
“Ketika saya menjadi Menteri Pendidikan dahulu, kita telah meletakkan asas yang kukuh dalam sistem pendidikan negara. Namun dengan adanya AI, kaedah dan pendekatan pengajaran guru perlu disesuaikan agar lebih relevan dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Program Rundingan Meja Bulat Pendidikan Nasional 1.0 (Rimbun 1.0) 2025: Reformasi Sistem Pendidikan Dalam Era AI dan Pemerkasaan Institusi Guru yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.
Mahdzir berkata, beliau turut menyokong cadangan mengembalikan semula peperiksaan peringkat nasional seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah bagi memastikan mutu dan kecemerlangan pelajar terus terjamin.
Tambahnya, meskipun Penilaian Berasaskan Sekolah dan kokurikulum mempunyai nilai tersendiri, negara wajar mengekalkan sekurang-kurangnya satu peperiksaan di peringkat nasional antara Tahun Satu hingga Tingkatan Empat bagi menilai prestasi menyeluruh pelajar.
“Penilaian sekolah dan kokurikulum memang penting, tetapi saya percaya perlu ada sekurang-kurangnya satu peperiksaan di peringkat nasional untuk menilai prestasi keseluruhan pelajar,” katanya.
Program Rimbun 1.0 adalah anjuran Pemuda UMNO dan turut menampilkan bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, serta Ketua Pemuda UMNO Bahagian Machang yang juga bekas guru, Datuk Mohd. Sharizal Semsuddin, sebagai ahli panel. – KOSMO! ONLINE














