fbpx
SYAFIQ pernah dinobatkan sebagai Olahragawan MSSM B-18 di Perlis tahun ini.

Syafiq impi tamat penantian sejak 1964

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BINTANG muda olahraga dalam pembikinan, Muhammad Syafiq Nazim Mydin berani meletakkan sasaran tinggi mahu menjadi pelari 3,000m lari berhalangan (SC) kedua dari Malaysia beraksi di pentas Sukan Olimpik.

Ia adalah impian utama atlet berusia 17 tahun itu yang kini menyasarkan untuk melakukannya dalam tempoh tujuh hingga 11 tahun lagi sama ada Sukan Olimpik 2032 di Brisbane, Australia atau edisi seterusnya pada 2036.

Datuk Dilbagh Singh yang meninggal dunia kerana sakit tua di usia 76 tahun pada 2012, menjadi satu-satunya atlet negara pernah beraksi di Olimpik acara 3,000m SC sewaktu edisi Tokyo 1964.

“Impian saya nak wakil Malaysia ke Olimpik sama ada Brisbane 2032 atau 2036. Saya nak jadi yang pertama (acara 3,000m SC) setelah sekian lama (ke Olimpik).

SYAFIQ (kanan) bersama jurulatihnya, Mohammed Najib Abdul Rahim yang sentiasa memantau latihan dan perkembangannya.

 

“Sebagai atlet, memang nak juga cuba dapatkan Kejohanan Dunia tetapi impian utama ke Olimpik. Saya akan cuba langkah demi langkah dalam perjalanan realisasikan matlamat ini.

“Sekarang kena berlatih kuat, paling penting adalah (kekuatan) mental. Saya kena sentiasa tetapkan fikiran, tak boleh cepat putus asa, push (paksa diri) dalam latihan,” katanya.

Dilbagh pernah memegang rekod 3,000m SC menerusi masa sembilan minit 16 saat (s) sehinggalah dipecahkan oleh M. Ramakrishnan pada 1982 dengan kini catatan kebangsaan itu menjadi milik Nainasagoram Shanmuganathan (8:59.10s) yang masih bertahan sejak 1998.

Sebagai langkah awal, Olahragawan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) bawah 18 tahun (B18) itu mahu melayakkan diri ke temasya Sukan SEA Malaysia 2027 bagi menguji keupayaan diri dalam perjalanan menjadi pakar acara 3,000m SC.

SYAFIQ (kanan) dan Syukri (kiri) mempunyai masa depan cerah dalam industri olahraga jarak jauh negara.

“Sekarang saya perlu buktikan dahulu di Sukma (Sukan Malaysia) tahun depan (Selangor 2026). Saya perlu teruskan lagi progress kerana sekarang saya di ranking kedua untuk umur B21.

“Walaupun kali pertama akan ke Sukma, sasaran tak berubah iaitu pingat emas 3,000m SC. Nak pecahkan rekod agak jauh tetapi saya masih ada banyak masa lagi untuk lakukannya,” jelas pelajar SMK Kota Kemuning itu.

Menariknya, Syafiq adalah abang kepada seorang lagi bintang olahraga dalam pembikinan, Syukri Nazim yang meraih tempat keempat 800m Sukan Remaja Asia (AYG) Bahrain 2025 baru-baru ini.

Pastinya sesuatu yang cukup manis jika pasangan adik beradik itu berjaya membuat penampilan sulung beraksi di Sukan SEA Malaysia 2027. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI