SELEPAS berehat hampir dua bulan akibat kecederaan, beregu campuran negara, Cheng Su Yin kembali ke gelanggang dengan misi mencari semula ‘rentak juara’ pada Kumamoto Masters di Jepun minggu depan.
Pasangan ranking ke-20 dunia itu yang bergandingan bersama Hoo Pang Ron sudah pulih sepenuhnya selepas mengalami keretakan tulang tapak kaki kiri, memaksa mereka menarik diri daripada keseluruhan siri Eropah bulan lalu.
Menurut Su Yin, fokus utama mereka untuk kembali kompetitif dalam dua kejohanan penutup musim iaitu Kumamoto Masters (11-16 November) dan Terbuka Australia (18-23 November).
“Setakat ini saya sudah okay dan pulih sepenuhnya. Kecederaan itu masih ada tetapi saya lihat macam mana mahu atasinya. Sekarang saya tidak ada rasa takut lagi,” kata Su Yin selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam.
Jelas Su Yin, kecederaan kali ini tidak sama seperti dialami di Orleans Masters pada Mac lalu apabila mengalami retakan kecil di tulang tapak kaki kiri, namun bebas sepenuhnya daripada kesakitan itu.
Menjelang aksi pembukaan Kumamoto Masters bertaraf Super 500, mereka akan menentang pasangan Taiwan, Wu Hsuan Yi-Yang Chu Yun buat kali pertama yang merupakan finalis Kaohsiung Masters di Taiwan baru-baru ini.
“Mereka (pasangan Taiwan) pun agak kuat juga sebab kalau tidak salah di Kaohsiung Masters mereka adalah naib juara.
“Kami tahu bukan mudah untuk lawan mereka, tapi kami sudah buat persiapan rapi dan harap dapat beri yang terbaik,” ujar Pang Ron. – KOSMO! ONLINE














