SEBERANG PERAI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga ke hari ini masih mengambil pendekatan ‘menutup mulut’ berhubung spekulasi rombakan Kabinet yang bakal berlaku dalam terdekat meskipun desas-desus mengenai perkara terbabit sedang hangat diperkatakan.
Ketika ditanya mengenai kebimbangan jemaah Menteri yang didakwa bakal hilang jawatan sekiranya berlaku rombakan, pendirian Anwar dilihat masih sama dan enggan menyentuh mengenai isu tersebut.
“Ya kah?” katanya ringkas.
Demikian menurutnya ketika ditemui pemberita selepas hadir Majlis Peluncuran Masjid Madani Seberang Perai Tengah di sini, hari ini.
Semalam, Anwar secara secara berseloroh meminta pihak media mengemukakan senarai nama barisan Kabinet baharu.
Terdahulu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir memberi bayangan akan berlaku rombakan Kabinet dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi.
Dalam ucapan pada majlis penutup FOI 2025, Zambry mengharapkan Anwar dapat memberikan sokongan penuh kepada penganjuran FOI untuk tahun-tahun akan datang meskipun beliau tidak mengetahui sama ada masih menerajui kementerian itu atau sebaliknya. -KOSMO! ONLINE














