PORTIMAO – Marco Bezzecchi berpeluang mencipta sejarah sebagai pelumba Aprilia pertama menamatkan MotoGP di tempat ketiga ketika saingan hanya berbaki dua perlumbaan.
Selepas menunjukkan peningkatan mendadak sepanjang musim, Bezzecchi kini mendahului pelumba Ducati, Francesco Bagnaia dengan kelebihan lima mata dalam carta keseluruhan.
Saingan merebut tempat ketiga itu dijangka kekal sengit sehingga ke aksi penutup musim pada Grand Prix (GP) Valencia nanti.
Aprilia yang bangkit sebagai pencabar utama Ducati musim ini telah meraih dua kemenangan GP dan tiga kemenangan sprint menerusi Bezzecchi dan rakan sepasukan, Raul Fernandez.
Kemenangan tersebut mengembalikan keyakinan Aprilia terutama pembangunan jentera yang lebih kompetitif berbanding prestasi musim-musim sebelumnya.
“Pertama sekali, saya sangat gembira kerana masih berada dalam kedudukan untuk berjuang ketika musim berbaki dua perlumbaan
“Kami kini berada dalam posisi yang membolehkan kami mencuba merealisasikannya. Pecco (Bagnaia) sangat kuat tetapi ketika ini saya juga berada dalam prestasi terbaik, jadi kami akan bertarung sehingga ke garisan penamat.
“Apa yang penting sekarang adalah mengekalkan fokus dan tidak melakukan kesilapan. Kami tahu apa yang dipertaruhkan, jadi kami akan memberikan segala-galanya,” ujar Bezzecchi.
Bagaimanapun, Bezzecchi perlu mengatasi Bagnaia dengan 37 mata pada GP Portugal di Litar Algarve, Portimao hujung minggu ini untuk mengesahkan kedudukan ketiga serta pelumba pertama Aprilia mencatat pencapaian tersebut dalam sejarah MotoGP.
Rekod terbaik Aprilia dalam kedudukan akhir MotoGP sebelum ini adalah tempat keempat yang dicatat Aleix Espargaro pada 2022. – AGENSI














