KUALA LUMPUR – Gandingan adik beradik muay thai popular negara, Elias Ghazali Zulfikar dan Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar bakal menjadi tumpuan pada saingan Warrior’s Arena di Kepala Batas, Pulau Pinang malam ini.
Apa tidaknya, Mikail yang lebih dikenali dengan panggilan Miki itu akan berentap dalam Super Main Event berdepan Yodkitti FiatPathum dari Thailand manakala Elias menentang petarung Terengganu, Sabri dalam kategori Bantamweight bagi Main Event.
Lebih menarik, pertarungan itu akan menampilkan 16 petarung muay thai profesional dari dalam dan luar negara termasuk Indonesia, Thailand dan Iran.
Penganjur utama kejohanan, Ahmad Akhmal Mohd. Noor menyifatkan Warrior’s Arena bukan sedakar pertarungan muay thai semata-mata tetapi turut menjadi medan mengangkat martabat seni bela diri itu selain ruang petarung muda mempamerkan bakat.

“Kami mahu jadikan acara ini bukan sekadar tontonan, tetapi pengalaman untuk peminat, atlet dan komuniti. Pulau Pinang akan menjadi saksi kebangkitan petarung generasi baharu,” katanya menerusi satu kenyataan.
Acara tersebut merupakan anjuran SecondBrain dengan kerjasama Persatuan Nadi Persahabatan Kepala Batas (NPKB), NSH One Solution serta beberapa rakan strategik termasuk T-Fight dan Persatuan Muay Thai Malaysia.
Selain menyaksikan pertarungan di atas gelanggang, penonton turut berpeluang menyertai beberapa aktiviti sampingan seperti bergambar bersama atlet serta pameran muay thai. – KOSMO! ONLINE














