SHAH ALAM – Seorang lelaki maut selepas ditembak beberapa das dalam kejadian di sebuah stesen minyak di Bukit Tinggi, Klang dekat sini malam tadi.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 11.13 malam apabila orang awam memaklumkan kepada polis berhubung insiden tembakan di premis berkenaan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, hasil siasatan mendapati mangsa berusia 34 tahun dan tidak bekerja.
“Siasatan awal mendapati suspek telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah bahagian hadapan kereta sehingga mengenai bahagian hadapan badannya,” katanya hari ini.
Beliau berkata, kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, manakala motif kejadian masih dalam siasatan.
Justeru katanya, orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah, Asisten Superintendan Aminuddin Mahadi di talian 013-2104006 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Daerah Klang Selatan di talian 03-33762222.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Seorang lelaki dipercayai cedera parah selepas ditembak dua suspek di sebuah stesen minyak di Bukit Tinggi, di sini, malam tadi.
Mangsa dikatakan cedera di perut dan dada selepas tiga terkena das tembakan. – KOSMO! ONLINE














