BERDEPAN kekangan kewangan dan kekurangan kemudahan tidak melemahkan semangat Ampangan City (AMC) bawah 14 tahun (B-14) muncul juara Liga Remaja Malaysia (MYL) Negeri Sembilan 2025.
Kemenangan itu amat bermakna kerana ini adalah penyertaan sulung Ampangan City selepas menewaskan NS Sigma 2-1 dalam aksi final di Padang KOMBES Paroi baru-baru ini.
Pengurus pasukan, Jalaludin Musa berkata, kejayaan itu hasil semangat kekeluargaan dan kerjasama erat antara pemain, jurulatih serta ibu bapa yang menjadi tulang belakang pasukan.
“Kami tidak mempunyai tajaan besar, semua keperluan pasukan datang daripada sumbangan bersama. Namun semangat satu keluarga menjadikan kami kuat,” katanya.
Jalaludin turut menegaskan bahawa semangat kekeluargaan yang diterapkan sejak awal menjadi tunjang utama kejayaan itu.
“Ini bukan sekadar pasukan bola sepak, kami adalah satu keluarga. Cabaran kewangan kami ketepikan, yang penting semangat dan disiplin pemain,” ujarnya.
Di bawah bimbingan ketua jurulatih Irwan Fizree, Ampangan City menewaskan Real Mambau FC 4-1 di separuh akhir sebelum mengatasi NS Sigma 2-1 di pentas final.
Kejayaan itu membuktikan semangat dan kesepaduan mampu mengatasi kekangan kewangan sekali gus menonjolkan potensi besar bakat muda Negeri Sembilan ke peringkat lebih tinggi. – KOSMO! ONLINE














