fbpx
Gambar fail logo Meta. - AFP

Iklan scam dan judi, Meta wajib beri penjelasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memandang serius pendedahan agensi berita antarabangsa, Reuters, yang mendakwa syarikat Meta meraih keuntungan daripada iklan penipuan, judi dalam talian dan aktiviti haram di platform kendaliannya.

MCMC dalam kenyataan berkata, pihaknya akan memanggil Meta untuk memberikan penjelasan rasmi berhubung dakwaan tersebut, selaras dengan kebimbangan yang turut disuarakan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Katanya, siasatan akan dimulakan segera dan jika dakwaan itu terbukti benar, ia merupakan pelanggaran serius terhadap kepercayaan awam serta undang-undang negara.

Sebelum laporan Reuters itu disiarkan, MCMC telah mengadakan sesi libat urus bersama beberapa platform media sosial utama termasuk Meta berhubung isu iklan penipuan dan perjudian dalam talian.

“MCMC menzahirkan kebimbangan susulan jumlah permintaan untuk menurunkan kandungan haram yang amat tinggi ke atas Meta berbanding platform lain,” kata kenyataan itu hari ini.

MCMC berkata, bagi tempoh 1 Januari hingga 4 November 2025, sebanyak 157,208 permintaan dibuat kepada Meta bagi menurunkan iklan aktiviti haram dalam talian, selain 44,922 permintaan berkaitan iklan penipuan.

Katanya, jumlah itu jauh mengatasi platform lain termasuk TikTok (3,956), Telegram (269), X atau Twitter (11) dan YouTube (45,448) bagi kategori sama.

“Meta sebelum ini telah dinasihatkan agar mengambil langkah lebih proaktif membanteras penyebaran iklan scam dan judi, kerana pendekatan sedia ada masih belum berkesan dan terus memberikan kesan negatif kepada masyarakat.

“Bagi memastikan keselamatan siber lebih menyeluruh, semua platform media sosial dan aplikasi pesanan Internet wajar dilesenkan serta wajib membuktikan keberkesanan sistem keselamatan bagi menghalang aktiviti haram,” katanya.

Platform berkenaan turut disaran melaksanakan sistem pengesahan identiti pengguna bagi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti.

“MCMC tidak akan teragak-agak mengambil tindakan jika terdapat bukti mana-mana platform bersubahat atau membantu aktiviti menyalahi undang-undang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI