HARIMAU Malaya harus berada dalam fasa bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan menghadapi Nepal pada aksi kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, 18 November ini.
Ketika ini, pendekatan yang mungkin akan dimainkan oleh Nepal kekal menjadi misteri selepas mendapat sentuhan bekas penyerang sensasinya, Hari Khadka bagi menggantikan Matt Ross yang mengambil keputusan melepaskan jawatan.
“Persatuan Bola Sepak Seluruh Nepal (ANFA) telah melantik Hari Khadka sebagai ketua jurulatih kebangsaan Nepal untuk Kelayakan Piala Asia AFC 2027 akan datang. Kami mendoakan kejayaan beliau bersama pasukan kebangsaan,” umum ANFA hujung bulan lalu.
Sebagai persediaan awal, Nepal dijadualkan menentang Bangladesh dalam satu aksi persahabatan antarabangsa pada Khamis ini dan ia dilihat menjadi medan terbaik buat Khadka menguji kemampuan sebelum bertemu Malaysia.
Di kem Harimau Malaya, isu pemain warisan seakan tidak menjejaskan misi pasukan menyaksikan pengendali negara, Peter Cklamovski memanggil skuad terbaik bagi memastikan tiga mata.
Pertahanan berpengalaman, Matthew Davies yang tersisih pada dua jendela antarabangsa September dan Oktober ekoran kecederaan kembali dipanggil untuk memperkuatkan pasukan.
Cklamovski turut mengekalkan 24 pemain daripada skuad menentang Laos bagi aksi kelayakan Piala Asia 2027 pada 9 dan 14 Oktober lalu dan membawa masuk dua pemain bawah 23 tahun, Aliff Izwan Yuslan serta Muhammad Ubaidullah Shamsul.
Selain itu, 11 pemain diletakkan dalam senarai menunggu seperti Adam Nor Azlin (KL City FC), Akhyar Rashid (Terengganu FC), Wan Kuzain Wan Kamal (St. Louis City) dan Luqman Hakim Shamsudin (NSFC). – KOSMO! ONLINE














