LONDON – Kapten Sunderland, Granit Xhaka mengakui masih terhutang budi kepada pengendali Arsenal, Mikel Arteta menjelang aksi kedua-dua pasukan pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium of Light, awal pagi esok.
Xhaka yang pernah mewakili Arsenal pada 2016 hingga 2023 percaya Arteta adalah individu yang bertanggungjawab untuk meningkatkan kualiti permainannnya di posisi tengah.
“Apabila Arteta jadi pengurus Arsenal (pada 2019), dia cuba pujuk saya untuk kekal sedangkan saya sudah bersedia untuk berhijrah ke kelab lain ketika itu.
“Namun, saya membuat keputusan untuk batalkan tawaran kontrak kelab terbabit kerana keyakinan yang diberikan oleh Arteta. Beliau mahu saya kekal profesional walaupun saya ada melakukan kesilapan,” katanya.
Sementara itu, Xhaka yang kini berusia 33 tahun percaya keputusan untuk menyertai The Black Cats adalah tepat selepas membantu pasukan menduduki tangga keempat EPL ketika ini.
“Saya rasa pilihan untuk bersama Sunderland pada jendela perpindahan lepas adalah sangat tepat kerana saya diterima dengan baik di sini.
“Saya dan rakan-rakan cukup positif dan saya harap kita boleh mencipta kejayaan manis pada saingan musim ini,” kata kapten skuad antarabangsa Switzerland itu. – AGENSI














