MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ruben Amorim dijangka melakukan beberapa perubahan dalam kesebelasan utama menjelang aksi getir menentang Tottenham Hotspur dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) malam ini.
Ia tidak mudah kerana United gagal mencatat kemenangan daripada tujuh pertemuan terakhir menentang Spurs dalam semua kejohanan sejak tiga tahun lalu selepas kali terakhir menang 2-0 ke atas lawan itu pada Oktober 2022.
Amorim kini hampir melengkapkan skuad selepas tiada pemain utama mengalami kecederaan kecuali Lisandro Martinez yang baru pulih daripada kecederaan lutut panjang dan perlu diberi lebih masa sebelum kembali selepas rehat antarabangsa.
Antara pertimbangan utama Amorim adalah kemungkinan menyenaraikan semula Harry Maguire dalam kesebelasan utama selepas tonggak pertahanan itu kembali menjalani latihan penuh di Carrington minggu ini.
Maguire yang tidak diturunkan ketika seri menentang Nottingham Forest hujung minggu lalu, dijangka menggantikan Leny Yoro dalam formasi tiga pertahanan bersama Matthijs de Ligt dan Luke Shaw bagi menambah kekuatan United di benteng.
“Dia sudah berlatih minggu ini, nampak cergas dan bersedia. Kami tahu Tottenham kuat dalam situasi bola mati, jadi pengalaman dan kelebihan fizikal Maguire boleh membantu kami menutup ruang itu,” ujar Amorim.
Statistik menunjukkan Maguire memenangi lebih 70 peratus perebutan bola musim ini dan Amorim mahu memanfaatkan kelebihan tersebut bagi mengekang ancaman Micky van de Ven, pertahanan Spurs yang telah meledak enam gol musim ini.
Selain Maguire, Mason Mount dan Patrick Dorgu turut dijangka kembali dalam kesebelasan utama menggantikan Benjamin Sesko serta Diogo Dalot bagi memberi keseimbangan di bahagian tengah dan sayap kiri. – AGENSI














