PORTIMAO – Pelumba Aprilia Racing, Marco Bezzecchi ‘mengamuk’ di Litar Antarabangsa Algarve apabila berjaya menempah petak utama pada sesi kelayakan Grand Prix (GP) Portugal, sebentar tadi.
Pelumba kelahiran Itali itu memperagakan tunggangan luar biasa dengan jentera RS-GP apabila mencatat masa pusingan terpantas satu minit 37.55 saat (s) sekali gus menafikan cabaran sengit bintang muda sensasi Sepanyol, Pedro Acosta.
Acosta yang bersaing bersama pasukan Red Bull KTM Factory Racing mencatat masa kedua terpantas dengan masa 1:37.706s sekali gus memastikan tempatnya di barisan hadapan buat kali pertama tahun ini.
Bezzecchi jelas gembira dengan prestasi cemerlangnya itu dan mengakui kejayaan itu hasil kerja keras seluruh pasukan.
“Ya, saya sangat gembira. Sejak semalam kami telah membuat satu langkah besar ke hadapan dan hari ini saya pantas sejak awal lagi.
“Saya amat berterima kasih kepada pasukan dan kru saya. Sekarang kami bersedia untuk dua cabaran penting iaitu perlumbaan ‘sprint’ hari ini dan perlumbaan utama esok,” jelasnya.
Dengan aksi konsisten yang dipamerkan sepanjang hujung minggu ini, Bezzecchi berpeluang mencipta sejarah sebagai pelumba Aprilia pertama menamatkan saingan MotoGP di tempat ketiga keseluruhan.
Pelumba berusia 26 tahun itu mendahului Bagnaia dengan kelebihan lima mata dalam carta keseluruhan namun, Bezzecchi perlu menjarakkan kedudukan dengan 37 mata di Portimao bagi mengesahkan kedudukan ketiga keseluruhan.
Melengkapkan barisan hadapan ialah pelumba Yamaha, Fabio Quartararo yang mempamerkan kebangkitan luar biasa selepas terpaksa melalui sesi kelayakan pertama (Q1) dengan mencatat masa tiga terpantas dengan catatan 01:37.860s.
Sementara itu, pelumba Ducati, Francesco Bagnaia turut memperagakan tunggangan terbaik apabila berjaya bangkit dari kedudukan ke-10 ke petak keempat dan Alex yang terjatuh di penghujung sesi kelayakan akan bermula di petak kelima esok.-KOSMO! ONLINE














