KUANTAN – Kira-kira 60 rumah rosak manakala 13 kejadian pokok tumbang direkodkan susulan ribut kuat yang melanda beberapa kawasan sekitar bandar ini, malam semalam.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuantan, Mejar Zahidi Zainudin berkata, kejadian ribut yang berlaku kira-kira jam 7.30 malam itu menjejaskan kawasan Taman Tanah Putih, Bukit Setongkol serta Taman Cenderawasih.
“Setakat pukul 10 pagi tadi, sebanyak 40 rumah di Taman Tanah Putih dan selebihnya masing-masing di Bukit Setongkol serta Taman Cenderawasih dikenal pasti mengalami kerosakan pada bahagian bumbung dan struktur tertentu. Jumlah sebenar premis terjejas serta anggaran kerugian masih dalam proses bancian. Namun, sehingga kini tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya susulan kejadian sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan 46 orang daripada sembilan keluarga yang terjejas akibat ribut.
Katanya, mangsa ditempatkan di pusat pemindahan berkenaan sementara menunggu rumah mereka dibaik pulih dan susulan keadaan cuaca yang tidak menentu pada masa ini.
Dalam pada itu Zahidi berkata, ribut turut menyebabkan 13 kes pokok tumbang di beberapa lokasi dengan satu daripadanya menghempap rumah di Jalan Bukit Bayroute.
“Pokok tumbang yang turut berlaku di kawasan Bukit Setongkol dan Taman Cenderawasih itu menyebabkan beberapa jalan terhalang. Namun pihak bomba dan APM bertindak segera memotong serta membersihkan laluan terbabit,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE.














