LIVERPOOL – Bekas pengurus Arsenal, Arsene Wenger membuat pendedahan berani apabila mendakwa kehadiran Florian Wirtz sebenarnya telah ‘memusnahkan’ trio asal Liverpool yang sebelum ini memainkan watak penting menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu.
Wirtz dibeli dengan harga cukup mahal daripada Bayer Leverkusen berjumlah £116 juta (RM633.88 juta) pada musim panas lalu beserta permintaan khas bintang Jerman itu yang mahukan posisi No. 10 di Anfield.
Bagaimanapun, Wirtz, 22, gagal menyerlah apabila masih belum mencipta sebarang gol mahupun bantuan jaringan dalam semua 10 perlawanan EPL musim ini sekali gus dilihat antara faktor The Reds tewas empat aksi liga berturut-turut bulan lalu.
“Wirtz diberi pilihan sama ada Bayern Munich atau Liverpool. Dia memberitahu Liverpool dia akan menyertai jika bermain No. 10, bukan di posisi sayap.
“Liverpool bersetuju dan ubah susunan tetapi ia musnahkan gandingan tengah terdiri daripada Ryan Gravenberch, Alexis Mac Allister dan Dominik Szoboszlai. Demi beri ruang kepada Wirtz, mereka terpaksa korbankan Szoboszlai.
“Apabila trio tengah asal kembali digandingkan dan Wirtz ditolak ke kiri (sayap), Liverpool kembali dilihat stabil. Jadi saya percaya pengurus (Arne Slot) mungkin sudah memaklumkan perkara ini kepada Wirtz,” kata Wenger.
Sejak Slot mengembalikan kombinasi tengah musim lalu, ia terbukti menerusi peningkatan ketara Liverpool dengan dua kemenangan berturut-turut tanpa bolos.
Jika Wirtz di posisi sayap mampu mengembalikan kestabilan, Liverpool perlu mengorbankan Cody Gakpo di bangku simpanan memandangkan mereka bakal berdepan lawan sukar, Manchester City dalam aksi EPL seterusnya di Stadium Etihad awal pagi Isnin ini. – AGENSI














