fbpx
SKUAD berbasikal negara tetap meletakkan sasaran tinggi meskipun terpaksa beraksi di velodrom outdoor di Bangkok nanti.

Velodrom konkrit cabaran buat Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERMUKAAN trek konkrit yang lebih ‘berat’ selain faktor angin dan cuaca tidak menentu menjadi cabaran utama perlu diatasi skuad berbasikal trek negara dalam misi memburu pingat emas pada Sukan SEA Thailand bulan depan.

Pelumba negara, Muhammad Fadhil Zonis berkata, perlumbaan di velodrom terbuka di Hua Mark, Bangkok amat berbeza berbanding velodrom tertutup, sekali gus menuntut percaturan gear serta strategi yang tepat.

Menurutnya, skuad negara yang kini menjalani latihan intensif di Velodrom Cheras berada pada fasa akhir untuk menentukan kombinasi gear paling ideal bagi menghadapi keadaan trek serta persekitaran di Bangkok.

“Persiapan setakat ini berjalan baik. Fokus utama ketika ini ialah mencari gearing yang tepat untuk perlumbaan outdoor (terbuka), terutamanya bagi acara pecut berpasukan dan keirin.

“Trek outdoor memang lain, permukaannya lebih berat, jadi gear yang digunakan tidak sama seperti di indoor (dalam dewan). Kita juga perlu mengambil kira keadaan angin dan cuaca yang boleh berubah pada bila-bila masa.

“Sebab itu, fasa latihan ketika ini banyak ditumpukan kepada penyesuaian gear serta situasi perlumbaan,” katanya.

Mengulas mengenai cabaran lawan, Fadhil menegaskan skuad negara sudah mempunyai strategi termasuk menganalisis perlumbaan dan corak taktikal pasukan pencabar.

“Kita tahu Thailand memiliki beberapa pelumba terbaik. Jadi kita kena kaji lebih mendalam cara mereka belumba terutama mengenai taktikal dan dari situ kita boleh tahu gear yang sesuai,” katanya.

Pada Sukan SEA nanti, Fadhil akan bergandingan bersama Muhammad Ridwan Sahrom dan Mohd. Akmal Nazimi Jusena susulan ketiadaan pelumba berpengalaman, Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang masih dalam proses pemulihan daripada pembedahan lutut bulan lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN