CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) meminta penjelasan rasmi daripada TikTok susulan dakwaan platform itu digunakan untuk merekrut individu bagi aktiviti penyeludupan dadah ke luar negara.
MCMC berkata, penjelasan yang dimahukan berkait mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan dalaman TikTok terhadap kandungan atau iklan yang disyaki digunakan bagi tujuan jenayah termasuk tawaran kerja palsu yang berpotensi memperdaya pengguna.
“Sebarang penyalahgunaan platform dalam talian untuk merekrut atau memperdaya pengguna bagi kegiatan jenayah melalui penyebaran kandungan palsu merupakan satu kesalahan serius di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].
“Selain itu, Seksyen 263(1) memperuntukkan bahawa setiap pemegang lesen adalah bertanggungjawab mengambil langkah terbaik bagi memastikan rangkaian atau perkhidmatan di bawah kawalannya tidak digunakan untuk tujuan yang menyalahi undang-undang Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, media melaporkan satu sindiket dipercayai memperdaya beberapa individu untuk menyeludup dadah jenis ganja seberat 68 kilogram bernilai hampir RM8.3 juta ke Manchester, United Kingdom melalui tawaran kerja yang diiklankan di TikTok.
Bagaimanapun, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berjaya menggagalkan cubaan berkenaan.
Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, cubaan tersebut dilakukan oleh dua pasangan lelaki dan wanita berusia lingkungan 20-an dari Johor, selepas bagasi milik seorang daripada mereka diimbas semula oleh pihak syarikat penerbangan apabila pasangan itu tidak dibenarkan menaiki pesawat. – KOSMO! ONLINE














