HANOI – Taufan Kalmaegi melanda tengah Vietnam semalam, kawasan sama yang sebelum ini dilanda beberapa ribut besar, menyebabkan ribuan penduduk dipindahkan.
Kalmaegi telah memusnahkan sebahagian Filipina awal minggu ini, mengorbankan sekurang-kurangnya 140 orang dan menyebabkan 127 lagi hilang selepas mencetuskan banjir besar yang memusnahkan banyak kawasan.
Menurut Kementerian Alam Sekitar Vietnam, taufan itu melanda bahagian tengah negara berkenaan lewat semalam dengan kelajuan angin mencecah 149 kilometer sejam dan jauh lebih kuat.
“Angin terlalu kuat, tiada apa yang mampu menahannya,” kata Vu Van Hao, 48, kepada AFP ketika beliau meninjau serpihan tingkap yang pecah akibat ribut di lobi sebuah hotel di wilayah Gia Lai.
“Kami di sini tidak pernah mengalami angin sekuat ini. Ini bencana alam, apa yang boleh kami lakukan?” katanya lagi.
Taufan itu melanda ketika Vietnam masih bergelut dengan kesan banjir besar dan hujan yang memecahkan rekod tertinggi selama lebih seminggu, yang telah meragut sekurang-kurangnya 47 nyawa dan menenggelamkan tapak bersejarah berusia berabad-abad.
“Ini adalah taufan besar dengan kuasa kemusnahan yang amat dahsyat,” kata pegawai tertinggi wilayah Gia Lai, Pham Anh Tuan, di mana media kerajaan melaporkan lebih 7,000 orang telah dipindahkan setakat malam kelmarin. – AFP














