BATU GAJAH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan membiayai hidangan makanan tengah hari buat 9,900 prospek yang sedang menjalani hukuman di tujuh penjara di negeri ini sempena ulang tahun keputeraan baginda ke-69 hari ini.
Orang Besar Jajahan Kinta, Datuk Ab. Wahab Azizul Hassan berkata, Sultan Nazrin sentiasa menunjukkan keprihatinan dan kasih sayang terhadap nasib serta kebajikan prospek di penjara di Perak.
Katanya, tujuh institusi itu adalah Penjara Tapah, Penjara Taiping, Pusat Koreksional Kamunting, Pusat Koreksional Batu Gajah, Pusat Koreksional Chenderiang, Penjara Satelit Kuala Kangsar dan Rumah Perantaraan Negeri Perak.
“Perak amat bertuah dinaungi seorang Sultan yang berjiwa rakyat dan berhati mulia. Baginda tidak jemu memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara, tanpa mengira latar belakang, bangsa mahupun agama.
“Prospek yang berada di sebalik tirai besi ini adalah insan yang pernah terkhilaf langkah, namun pintu taubat sentiasa terbuka dan wajar diberikan peluang kedua untuk membina semula lembaran hidup baharu,” katanya selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Makanan dan Minuman Kepada Prospek Sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Perak Ke-69 di Pusat Koreksional Batu Gajah, di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Pusat Koreksional Batu Gajah, Penolong Komisioner Penjara S. Tanabal berkata, Sultan Nazrin berkenan menyumbangkan sebanyak RM118,800 bagi tujuan penyediaan makanan dan minuman kepada prospek di tujuh institusi penjara berkenaan.
“Sumbangan itu bukan sahaja memenuhi keperluan jasmani penghuni, malah menjadi lambang kasih dan keprihatinan seorang raja terhadap rakyat.
“Ia juga dilihat menjadi pemangkin kepada usaha pemulihan serta pembentukan insan lebih baik, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani dan dasar pemulihan Jabatan Penjara,” katanya.














