PENJAGA gol Selangor FC, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman tidak wajar dipersalahkan selepas Gergasi Merah tewas memalukan 2-3 kepada kelab Indonesia, Persib Bandung dalam aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) malam tadi.
Pandangan itu disuarakan oleh jurulatih Persib, Bojan Hodak yang percaya tanpa ketangkasan Sikh Izhan, anak-anak buahnya boleh mencatat kemenangan besar yang mungkin berakhir dengan pesta gol di Stadium MBPJ itu.
“Saya lihat segalanya bermula pada babak kedua selepas kita ketinggalan 0-2 dengan pemain tampil agresif untuk melakukan tekanan ke atas tuan rumah.
“Kami berjaya menguasai permainan dan mencipta banyak peluang tetapi dinafikan oleh ketangkasan Sikh Izhan. Dia menyelamatkan dua atau tiga percubaan yang luar biasa.
“Kalau dia tidak dapat menyelamatkan beberapa percubaan tersebut, kami sepatutnya menang dengan enam atau tujuh gol,” kata Hodak yang pernah membimbing Kuala Lumpur City (KL City) FC sebelum berkelana ke Persib tahun lalu.
Pada perlawanan itu, Persib melakukan kebangkitan dramatik apabila meledak tiga gol pada babak kedua dengan gol kemenangan dijaringkan oleh Adam Alis selepas Sikh Izhan melakukan kesilapan.
Sikh Izhan yang berusia 23 tahun dilihat gagal mengawal emosi selepas wisel penamat sebelum ditenangkan oleh rakan sepasukan dan pemain-pemain pelawat.
Kekalahan tersebut meranapkan impian Selangor untuk mara ke pusingan kalah mati selepas tewas semua aksi peringkat kumpulan dengan Persib gah mendahului selaku pendahulu Kumpulan G. – KOSMO! ONLINE














