KUALA LUMPUR – Menggabungkan metal bersama orkestra, Konsert Metalkestra XPDC yang berlangsung esok bakal mencipta sejarah baharu buat band rock otai itu.
Pemain bes, Eddie berkata meskipun bukan seperti Konsert Raksasa di Stadium Negara pada 1998, persembahan mega di Zepp Kuala Lumpur nanti bakal menjadi penanda aras buat genre heavy metal tempatan.
“Lebih dua dekad berlalu, kenangan di Stadium Negara dengan lebih 10,000 peminat berhimpun meraikan kehebatan XPDC masih segar dalam ingatan.
“Itu adalah detik bersejarah yang sukar dilupakan dalam landskap muzik rock tempatan dan sudah tentu fenomena sebegitu hanya berlaku sekali seumur hidup.
“Itu momen epik yang tidak mungkin berulang, namun pada 2025 ini kami diiringi orkestra untuk ‘bunyi’ berbeza,” katanya selepas sesi latihan di Studio Shoreline Space, baru-baru ini.
Menurut Eddie, seramai lapan pemain string daripada orkestra berpengalaman mengiringi XPDC pada persembahan mega yang dijangkakan berlangsung lebih dua jam.
Selain pemain bass terbabit, aksi band ditubuhkan sejak 1988 itu turut membariskan Mamu selaku vokalis bersama Izo, Lola serta Arif yang masing-masing tidak sabar menawan Zepp Kuala Lumpur.
“Ada lebih 30 lagu, tapi kita terpaksa potong dan ada lagu yang kita medleykan. Jika dihitung, konsert ini mengambil masa selama dua jam atau mungkin lebih panjang,” ujarnya.
Terdahulu, Konsert Raksasa XPDC pada 1998 itu membariskan Ali selaku vokalis, Izo (gitar), Zuar (gitar bass) dan Lola (dram).
Bagi Konsert XPDC Metalkestra, XPDC menampilkan Arif dan Mamu selepas Ali terpaksa berundur akibat masalah kesihatan tetapi vokalis otai itu turut diundang khas pada malam tersebut.
Sementara itu, Izo pula berkata konsep Metalkestra yang menggabungkan heavy metal dan orkestra diyakini menyuntik pengalaman baharu kepada penonton.
“Metalkestra adalah apresiasi kami terhadap kesetiaan peminat yang berada di belakang kami sehingga XPDC terus berdiri teguh hingga ke hari ini.
Lebih menarik, dua pembeli tiket dengan pakaian samurai terbaik bakal membawa pulang hadiah istimewa, manakala cabutan bertuah pula menawarkan tiga gitar Jackson Izo Signature.
Bagi yang ingin menikmati momen bermakna dengan XPDC, tiket boleh dibeli menerusi iLasso Tickets. – KOSMO! ONLINE














