PETALING JAYA – Program bimbingan usahawan Mara, Gate-To-Global (GTG), terus membuktikan keupayaannya apabila seramai 132 usahawan Bumiputera berjaya menembusi lebih 20 pasaran antarabangsa dengan jumlah jualan terkumpul mencecah RM632 juta setakat ini.
Lebih membanggakan, hanya pada hari pertama Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di Shanghai kelmarin, tiga syarikat Bumiputera di bawah program itu berjaya memeterai perjanjian pengedaran baharu dengan rakan niaga di China bernilai lebih RM60 juta.
Menurut Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, pencapaian itu sekali gus membuktikan kemampuan produk dan perkhidmatan Bumiputera bersaing di peringkat global, termasuk di pasaran sebesar China yang memiliki 1.4 bilion pengguna.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi MATRADE, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan pasukan agensi berkenaan yang berjaya menjadikan MIHAS Shanghai sebagai platform terbesar mempamerkan produk Malaysia dengan penyertaan lebih 250 usahawan tempatan.
“Mara akan terus memperkukuhkan kerjasama dengan MATRADE bagi memastikan usahawan Bumiputera bukan hanya berjaya menembusi pasaran antarabangsa, tetapi terus berkembang mampan dan berdaya saing,” katanya.
Program Gate-To-Global merupakan inisiatif khas Mara untuk membantu usahawan memperluas rangkaian eksport melalui latihan, pembiayaan serta penyertaan dalam pameran perdagangan global.-KOSMO! ONLINE.














