KHARTOUM – Sebuah pesawat kargo milik tentera Sudan terhempas di negeri Kordofan Barat, selatan negara itu selepas salah satu sayapnya mengalami kerosakan teknikal, lapor agensi berita Anadolu.
Angkatan Tentera Sudan (SAF) dalam satu kenyataan berkata, pesawat itu hilang keseimbangan dan terbakar selepas sayap kanannya mengalami kerosakan.
Ia terhempas beberapa puluh kilometer dari kedudukan tentera Sudan di sebelah barat pada Selasa lalu.
Kapal terbang berkenaan sedang menjalankan misi penghantaran bekalan ke bandar Babanusa yang ditawan, di mana tentera Sudan berdepan pertempuran dengan Pasukan Sokongan Pantas (RSF).
“Semua penumpang dipercayai terkorban,” kata tentera Sudan tanpa menyatakan jumlah kematian.
Terdahulu pada hari sama, RSF mendakwa menembak jatuh sebuah pesawat tentera susulan serangan ke atas pasukannya di kawasan tersebut. – AGENSI














