KUALA LUMPUR – Seorang pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima wang tunai RM50,000 tanpa balasan, awal tahun lalu.
Mengikut pertuduhan, Pengarah Eksekutif (Pengurusan) organisasi itu, Mohamad Hamim @ Mohamed Kamarudin, 54, didakwa telah menerima untuk dirinya sendiri wang tunai RM50,000 tanpa sebarang balasan daripada seorang individu yang mempunyai hubungan kerja rasmi tertuduh di DBKL.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 10 Januari lalu di sebuah rumah di Jalan Changkat Tunku, Bukit Tunku di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Yasri Yahya menawarkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin.
Pendakwaan turut memohon syarat tambahan dikenakan terhadap Mohamad Hamim seperti tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri ke pejabat SPRM sebulan sekali sehingga kes selesai.
Bagaimanapun, peguam bela, Mohd. Alif Anuar dibantu peguam Zeffree Zainudin yang mewakili tertuduh memohon jumlah ikat jamin dikurangkan atas alasan anak guamnya menanggung keluarga dan turut mempunyai seorang anak yang kurang upaya.
Hakim Azura Alwi menetapkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan turut memerintahkan Mohamad Hamim melaporkan diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur sebulan sekali sehingga kes selesai selain.
“Mahkamah tidak menahan pasport tertuduh tetapi perlu membuat laporan secara bertulis kepada mahkamah setiap kali ke luar negara,” kata hakim itu.
Mahkamah kemudian menetapkan 12 Januari 2026 untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE














