KUALA PILAH – Orang ramai khususnya yang tinggal berhampiran Jeram Papan di Batu 8, Dingkir, di sini, memohon agar lokasi riadah tersebut dapat dicantikkan lagi sebagai tarikan pelancong.
Mohd. Azmi Hashim, 57, berkata, lokasi yang terletak di tepi Jalan Kampung Batu-Inas itu sudah dikunjungi orang ramai sejak lebih 30 tahun lalu.
“Lokasi ini popular dalam kalangan penduduk setempat serta luar. Pengunjung boleh memilih mana-mana lokasi untuk riadah di sepanjang kira-kira 150 meter dan sewajarnya ia sudah dinaik taraf bagi keselesaan pengunjung,” katanya.
Nasaruddin Ahmad, 60, pula berkata, mereka mahu tandas, tempat salin baju, tong sampah, selain kemudahan parkir kenderaan yang lebih sesuai.
“Dahulu, tempat ini sudah dimajukan sekejap, ada orang berniaga semua di premis yang disediakan, namun terhenti begitu sahaja dan kini premis bangunan tersebut sudah terbiar,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan Kampung Dingkir, Marzuki Minan berkata, lokasi tersebut telah dimajukan oleh seorang guru besar yang mendapat kelulusan dari agensi berkaitan namun usaha berkenaan terhenti selepas dia maut dalam kemalangan.














