PORTIMAO – Yamaha menegaskan usaha mereka pada musim MotoGP 2025 lebih tertumpu kepada pembangunan jentera jangka panjang, bukannya penyelesaian segera.
Ketika ini, Yamaha berada di kedudukan tercorot dalam carta pengeluar dan masih berpeluang menutup jurang 45 mata dengan Honda dalam baki dua perlumbaan di Portimao dan Valencia yang menawarkan maksimum 74 mata.
Realistiknya, prestasi terbaik Yamaha musim ini hanya menghasilkan sekitar 20 mata setiap hujung minggu perlumbaan, malah pasukan itu sering kehilangan mata kepada Honda hampir setiap perlumbaan.
Ketika ini, Yamaha membangunkan enjin prototaip baharu V4 yang bakal membuat penampilan wildcard ketiga pada perlumbaan penutup di Valencia.
“Ketika kita menghampiri dua pusingan terakhir musim ini, fokus utama kami adalah terhadap pembangunan jentera.
“Perubahan yang dilakukan ini adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang, bukan usaha menyelesaikan segera masalah. Untuk mencapai tahap prestasi yang kami sasarkan, ia memerlukan komitmen berterusan.
“Kami tetap komited menyokong Fabio (Quartararo) dan Alex (Rins). Perlumbaan berbaki ini akan menjadi medan penting untuk mendapatkan data tertentu sebelum memasuki fasa ujian musim 2026,” kata Pengarah Pasukan Monster Yamaha, Massimo Meregalli.
Tekanan terhadap Yamaha semakin meningkat selepas Quartararo berulang kali menegaskan dia memerlukan jentera yang mampu bersaing secara konsisten jika mahu kekal bersama pasukan selepas kontraknya tamat pada 2026. – AGENSI














