MIRI – Lelaki warga India yang hilang ketika mandi di sungai Kampung Hilir, Kuala Tutoh di Baram ditemukan terapung pagi tadi, dengan keadaan tangan kiri hilang dipercayai dibaham buaya.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata mayat mangsa berusia 21 tahun itu dijumpai oleh pasukan bomba yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira pukul 9.30 pagi.
“Mayat mangsa dijumpai pada jarak satu kilometer dari tempat kali terakhir dia dikhuatiri lemas. Keseluruhan tangan kiri mangsa juga hilang dan dikhuatiri dia mungkin telah dibaham buaya ketika kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, mangsa yang merupakan kru sebuah kapal dilaporkan hilang pada Rabu lalu ketika mandi di sungai Kampung Hilir.
Berdasarkan laporan, kejadian berlaku kira-kira pukul 4 petang semasa mangsa sedang mandi di sungai dengan berenang menuju ke kawasan pasir pantai berhampiran, yang terletak tidak jauh dari kapal berlabuh.
Bagaimanapun, kapal tersebut telah beralih ke tengah sungai lalu membuatkan mangsa bertindak berenang balik ke arah kapal yang jaraknya kira-kira 30 meter dari pantai.
“Semasa berenang, mangsa tiba-tiba hilang dan kru kapal yang lain tidak sempat memberikan bantuan ‘buoy’. Semasa kejadian, tiada tindakan terjun ke sungai bagi menyelamatkan mangsa kerana kawasan tersebut dikatakan pernah dihuni empat ekor buaya sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata kedalaman sungai tempat mangsa dilaporkan tenggelam dianggarkan 9 meter. KOSMO! ONLINE














