fbpx
Fadhlina.

Malaysia dilantik Ahli Lembaga Eksekutif UNESCO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA– Malaysia melakar sejarah di pentas antarabangsa apabila berjaya dipilih sebagai Ahli Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi penggal 2025 hingga 2029.

Pengumuman itu dibuat pada Persidangan Agung UNESCO Ke-43 yang berlangsung di Samarkand, Uzbekistan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang juga Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia berkata, pelantikan tersebut merupakan pengiktirafan global terhadap kepimpinan serta komitmen Malaysia dalam memacu agenda pendidikan, sains dan kebudayaan dunia.

“Saya merakamkan penghargaan kepada semua negara anggota yang memberikan kepercayaan ini. Kejayaan ini adalah hasil usaha bersama Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia, Kementerian Pendidikan, Wisma Putra dan Delegasi Tetap Malaysia di Paris,” katanya.

Pelantikan ini juga dilihat sebagai mandat besar untuk memastikan suara negara membangun, khususnya di rantau Asia Tenggara dan Asia Pasifik, terus didengari dalam perbincangan dasar global.

Malaysia dijangka memainkan peranan penting dalam membentuk hala tuju dasar UNESCO untuk empat tahun akan datang, termasuk memartabatkan akses pendidikan berkualiti, memperkukuh penggunaan sains dan teknologi untuk pembangunan mampan, serta melindungi warisan budaya dan alam sekitar.

Dengan kedudukan baharu ini, Malaysia dilihat terus memperteguh aspirasi Malaysia Madani selari dengan komitmen Matlamat Pembangunan Mampan 2030. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI