PETALING JAYA – Seorang lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini atas pertuduhan menyeludup empat migran senegara, tiga bulan lalu.
Bagi pertuduhan tersebut, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 26H Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670).
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tangkapan individu berkenaan dibuat sepasukan pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas bersama Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
“Operasi dilaksanakan di Jalan Putra
Pangsapuri Mawar, Taman Putra Kajang, Selangor pada 29 Ogos lalu di mana suspek bersama empat migran ditemui di dalam sebuah rumah,” katanya dalan kenyataan hari ini.
Zakaria menegaskan, tindakan undang-undang tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu, sindiket, majikan, atau pemilik premis yang menggaji, melindungi, atau bersekongkol dengan pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Orang ramai dinasihati agar sentiasa berwaspada serta melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan jenayah rentas sempadan.
“Sebarang bentuk penglibatan sama ada secara langsung atau tidak dalam aktiviti penyeludupan migran dan pemerdagangan orang adalah satu kesalahan serius dan akan dikenakan tindakan sewajarnya,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














