fbpx
Anggota APM memantau lokasi yang dilanda banjir kilat di Taman Serai Wangi, Padang Serai, Kulim hari ini.

Hujan lebat dua jam, Taman Serai Wangi dilanda banjir kilat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KULIM – Hujan lebat selama lebih dua jam pagi ini menyebabkan beberapa kawasan rendah di Taman Serai Wangi Fasa 3 dan 4, Padang Serai di sini dilanda banjir kilat.

Kejadian itu mengakibatkan sebahagian jalan utama di kawasan berkenaan ditenggelami air.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kulim, Kapten (PA) Amirul Aliff Ahmad berkata, kejadian bermula sekitar pukul 8 pagi selepas pihaknya menerima makluman daripada orang awam serta penghulu mukim berhubung kenaikan paras air di kawasan tersebut.
Katanya, sepasukan empat anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kulim digerakkan ke lokasi bagi menjalankan rondaan dan pemantauan awal keadaan banjir.

“Hasil tinjauan mendapati air memenuhi bahagian jalan di kawasan perumahan itu namun tidak menjejaskan kediaman penduduk kerana paras air hanya sekitar 0.5 meter,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, keadaan sungai di kawasan berkenaan masih mampu menampung jumlah air hujan, namun aliran air ke sungai agak perlahan berikutan sistem saliran yang tidak dapat menyalurkan air dengan cepat.

“Faktor itu menyebabkan air bertakung di jalan utama dalam tempoh tertentu, tetapi keadaan kini beransur surut apabila hujan mulai reda,” ujarnya.

Tambahnya, taburan hujan yang agak lebat sejak awal pagi menjadi punca utama limpahan air berlaku di kawasan rendah sekitar taman tersebut.

“Pihak APM akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin dan memberi bantuan segera sekiranya keadaan kembali buruk,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN