BIARPUN menyandang status juara dua edisi berturut-turut, Khiew Hoe Yean enggan mendabik dada apabila menyedari Vietnam serta Singapura muncul pencabar utama dalam usahanya memburu hatrik emas acara 200 meter (m) gaya bebas Sukan SEA Thailand 2025.
Hoe Yean berkata, perkembangan semasa menunjukkan jurang prestasi semakin rapat, sekali gus persaingan dijangka lebih sengit berbanding edisi Vietnam 2021 dan Kemboja 2023.
“Vietnam kini paling laju dalam 400m gaya bebas. Untuk 200m pula, saya lihat Vietnam dan Singapura semakin hampir, terutama atlet Singapura yang kuat dalam jarak pendek.
“Harapan saya adalah masuk ke zon terbaik dan saya percaya masih mampu lakukan lebih baik berbanding edisi 2021 di Hanoi,” katanya.
Perenang berusia 23 tahun itu kini memasuki fasa akhir persiapan lima minggu sebelum temasya bermula bulan depan dengan tumpuan khusus diberikan kepada aspek teknik serta kelajuan jarak.
“Kami fokus kepada teknik dan kelajuan jarak jauh. Persediaan sebelum ini sudah terbukti berkesan, jadi sekarang kami hanya perkemaskan bahagian teknikal,” ujarnya.
Hoe Yean sebelum ini mencipta sejarah apabila memecahkan rekod kebangsaan 400m gaya bebas serta membantu kuartet 4x200m negara mencatat rekod baharu ketika Sukan Universiti Dunia (WUG) di Jerman pada Julai lalu.
Olimpian yang beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 itu turut menyimpan impian memecahkan rekod 200m gaya kebangsaan dicipta Welson Sim dengan catatan satu minit 47.36 saat yang kekal sejak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Selain 200m, Hoe Yean juga akan menyertai 400m gaya bebas, acara yang menyaksikan dia meraih pingat perak pada dua edisi terdahulu. – KOSMO! ONLINE














