fbpx
FODEN (kanan) meraikan jaringannya bersama Cherki yang turut meledak satu gol ketika menewaskan Dortmund awal pagi semalam. - AFP

Foden kembali menyengat buat City

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LONDON – Pemain tengah Manchester City, Phil Foden mencuri tumpuan dengan dua jaringan menarik ketika Manchester City membelasah Borussia Dortmund 4-1 dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Stadium Etihad awal pagi semalam.

Bintang berusia 25 tahun itu bukan sahaja membantu City melonjak ke kelompok lapan teratas, malah mengukuhkan semula namanya dalam radar pengurus England, Thomas Tuchel menjelang kelayakan Piala Dunia minggu depan.

Foden membuka jaringan dengan rembatan lencong cantik sebelum Erling Haaland yang menentang bekas kelabnya menambah gol kedua, menjadikan jumlah peribadi 27 gol musim ini dan keseluruhan 54 jaringan di pentas UCL.

Pengurus City, Pep Guardiola memuji semangat dan ketajaman Foden yang disifatkannya sudah kembali ke tahap terbaik selepas musim lalu bergelut dengan kecederaan dan prestasi tidak konsisten.

“Phil sudah kembali. Kita pernah lihat dia menjaringkan gol seperti ini banyak kali. Musim lalu kita sangat merinduinya, tapi tahun ini dia nampak bahagia, bermain dengan keyakinan dan tenaga. Bila dia gembira, dia istimewa,” kata Guardiola.

Foden kemudiannya meletakkan City dalam kedudukan selesa dengan jaringan ketiga tetapi Dortmund sempat merapatkan jurang menerusi Waldemar Anton.

Namun, usaha mereka dipadam dengan gol lewat daripada Rayan Cherki memastikan kemenangan bergaya buat skuad Guardiola.

Kemenangan itu membawa City mengumpul 10 mata selepas empat perlawanan, meletakkan mereka di landasan kukuh menuju ke pusingan kalah mati iaitu jauh lebih baik berbanding musim lalu yang berakhir di peringkat play-off menentang Real Madrid. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN