BRUGES – Pengendali Barcelona, Hansi Flick tetap enggan menukar corak permainan menyerang pasukannya meskipun terus dikritik selepas seri 3-3 menentang Club Brugge dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi semalam.
Dalam aksi di Stadium Jan Breydel, Barcelona terpaksa bangkit tiga kali selepas benteng pertahanan mereka yang terlalu tinggi mudah dibolosi dan kini mengharungi perlawanan kesembilan berturut-turut tanpa rekod bersih sekali gus menjadi rekod terburuk sejak 2013.
Bagaimanapun, Flick menolak cadangan agar Barcelona bermain secara bertahan dan menegaskan corak permainan berintensiti tinggi tetap menjadi keutamaan pasukan.
“Kami boleh saja bertahan rendah dan tunggu peluang serangan balas, tapi itu bukan DNA kami. Kami mahu kekal dengan falsafah kami dan perbaiki apa yang kurang,” kata Flick.
Jurulatih itu menjelaskan kunci kepada kebangkitan Barcelona bukan dengan mengubah taktikal sepenuhnya, tetapi menambah ketajaman dan tekanan di setiap posisi.
“Tanpa intensiti, anda tiada peluang dalam UCL. Semua pasukan kini pantas dan agresif dalam transisi, Brugge juga melakukannya dengan baik seperti yang dijangka,” ujarnya.
Flick mengakui beberapa kelemahan terutama di bahagian tengah yang gagal menekan lawan dan membantu barisan pertahanan mengekang kepantasan pemain Brugge.
“Kami kena akui, tekanan di tengah padang tidak cukup kuat. Itu sebabnya benteng kami sering terdedah. Kami akan analisis dan betulkan semua itu bersama pemain,” tambahnya.
Ditanya sama ada dia akan membuat perubahan kecil demi kestabilan, Flick sekali lagi menolak, sebaliknya yakin kehadiran semula pemain utama selepas rehat antarabangsa akan membantu pasukan bangkit. – AGENSI














