WASHINGTON – Bilionair Elon Musk berpotensi menjadi trilionair pertama di dunia selepas pemegang-pemegang saham syarikat kenderaan elektrik Tesla meluluskan pakej gaji lumayan bagi memberi insentif kepada beliau untuk memperkukuh jenama tersebut, lapor portal berita MailOnline semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla dan individu terkaya di dunia itu memenangi undian pemegang saham semalam.
Undian itu menjamin beliau akan menerima saham bernilai AS$1 trilion (RM4.17 trilion) sekiranya mencapai beberapa sasaran prestasi utama dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Undian tersebut diadakan selepas beberapa minggu perdebatan mengenai rekod kepimpinan Musk di syarikat pembuat kereta elektrik itu serta persoalan sama ada sesiapa layak menerima bayaran sebesar itu.
Akhirnya, lebih 75 peratus pemegang saham yang hadir di ibu pejabat Tesla di Austin, Texas, mengundi untuk meluluskan rancangan tersebut.
“Kumpulan pemegang saham yang hebat,” kata Musk selepas undian terakhir dikira.
Pelabur yang mengundi untuk menyokong pakej bayaran gaji itu dipengaruhi oleh ancaman Musk bahawa beliau mungkin meninggalkan Tesla sepenuhnya.
Terdapat kebimbangan bahawa jika beliau berbuat demikian, nilai saham Tesla akan merudum dan harga pasaran jatuh mendadak.
Saham Tesla yang sudah meningkat 80 peratus dalam setahun lalu, naik lagi 1.5 peratus selepas berita keputusan undian itu diumumkan, menjadikan harga sahamnya adalah AS$447.27 (RM1,868) seunit dalam dagangan selepas waktu pasaran. – AGENSI














