MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan peruntukan kerajaan sebanyak RM15 juta yang disalurkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hanya boleh digunakan sebagai persiapan pada saingan kelayakan Piala Asia 2027.
Hannah berkata, dana tersebut adalah peruntukan khas bagi kegunaan skuad Harimau Malaya dan tidak boleh digunakan untuk tujuan lain termasuk membayar denda yang dikenakan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
“Peruntukan RM15 juta yang diberikan kerajaan adalah untuk persediaan pasukan kebangsaan sahaja, bagi kempen Piala Asia. Ia adalah peruntukan yang sangat spesifik
“Dana ini diberikan kepada FAM, dan laporan perbelanjaan perlu dihantar kepada MSN (Majlis Sukan Negara) untuk semakan serta pemantauan,” katanya ketika ditemui hari ini.
Sebagai rekod, FAM dikenakan denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.9 juta) oleh FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib badan induk itu susulan isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Rayuan yang dilakukan oleh FAM pada bulan lalu telah ditolak oleh Jawatankuasa Rayuan FIFA dan badan induk bola sepak negara itu dijangka mengheret kes tersebut ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS). – KOSMO! ONLINE














