BALIK PULAU – Tiga buah rumah teres di Kampung Sungai Burung di sini musnah dalam kebakaran, petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM negeri, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.47 petang sebelum jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Balik Pulau tiba di lokasi enam minit kemudian.
“Kebakaran melibatkan tiga unit rumah teres, api berjaya dikawal pada pukul 4.08 petang,” katanya di sini, hari ini. Menurutnya, operasi pemadaman masih dijalankan bagi memastikan tiada lagi risiko nyalaan semula, namun setakat ini tiada mangsa dilaporkan terlibat.
“Seramai 14 anggota bomba termasuk penyelia dari BBP Seri Balik Pulau terlibat dalam operasi itu dengan bantuan pasukan dari BBP Balik Pulau dan BBP Bayan Baru.
“Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan Pasukan Forensik Bomba,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














