PETALING JAYA – Seorang wanita terkejut apabila dikenakan bayaran sebanyak RM2 bagi sepiring kecil sos cili ketika makan di sebuah medan selera di pusat beli-belah terkemuka di ibu negara baru-baru iniS
Menerusi perkongsian wanita itu yang dikenali sebagai Nurrul Maria di laman Thread, kejadian itu berlaku semasa anaknya membeli hidangan nugget ayam dan kentang goreng di sebuah gerai di medan selera itu.
Katanya, dia terkejut apabila mendapati gerai tersebut mengenakan bayaran bagi sos cili yang diberi di dalam piring plastik kecil.
“Bawa anak makan di ‘food court’, harga sos cili tu RM2 sebekas. Tak masuk akal langsung.
“Oleh kerana anak yang pesan, saya pergi semula ke kaunter dan tanya adakah caj tambahan RM2 untuk sebekas kecil sos ini. Bukankah set itu dapat sekali dengan sos, dan juruwang maklumkan memang perlu bayar sos itu dan itulah harganya,” katanya.
Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna tidak berpuas hati dengan tindakan peniaga tersebut dan menasihatkan wanita itu untuk laporkan terus perkara itu kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
“Jadilah warganegara yang bertanggungjawab, bawa resit pegi laporkan pada KPDNHEP, biar orang lain tak terkena dan peniaga didenda,” kata Vansasasil.
“Kalau dia bagi jenis botol dan kita boleh bawa balik tak apa lagi. Ini sebekas yang macam di McD atau KFC, itu pun kena caj? Tunggulah KPDNHEP datang serbu,” kata Nadira.
“Mengarut betul, kalau dia nak caj ekstra sos pun kena sediakan sos terlebih dahulu. Sah kamu menang kak kalau bawa ke KPDNHEP,” kata Izkandar. – KOSMO! ONLINE














