PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran taufan Kalmaegi pada 8.45 pagi tadi susulan kehadiran taufan Kalmaegi yang kini dikesan di Laut China Selatan.
Menurut MetMalaysia, pada jam 8 pagi, pusat taufan berada di latitud 13.1 utara dan longitud 112.2 Timur, kira kita 314 kilometer ke timur laut Tuy Hoa, Vietnam.
Taufan Kalmaegi bergerak ke arah barat dengan kelajuan 35 kilometer sejam dan mencatatkan kelajuan angin maksimum 157 kilometer sejam.
“Jarak Taufan Kalmaegi dari bandar terdekat berada kira-kira 854 kilometer ke barat laut Kudat, Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.
MetMalaysia memaklumkan, keadaan tersebut boleh menyebabkan angin kencang dan laut bergelora di kawasan perairan Laut China Selatan. – KOSMO! ONLINE














