PETALING JAYA – Seorang wanita tidak menyangka permintaan suaminya yang mahu menikmati hidangan sotong goreng kunyit menjadi petanda lelaki itu akan pergi buat selama-lamanya.
Menurut perkongsian di aplikasi Thread, wanita itu memaklumkan suaminya ada meminta supaya menyediakan lauk sotong goreng kunyit untuk hidangan makan malam. Bagaimanapun, lelaki itu tidak sempat menjamah hidangan kerana terbabit dalam kemalangan semasa pulang dari tempat kerja.
“Assalamualaikum semua, saya tak boleh tidur dari tadi dan saya nak bagitahu sesuatu. Suami saya dia minta masak sotong goreng kunyit saya masakkanlah. Lepastu, saya tunggu suami balik kerja nak tahu tak apa jadi. Suami saya tak nak jamah pun makanan saya dahlah nasi siap masak.
“Rupanya suami saya tak makan sebab dia syahid waktu balik kerja. Suami saya sebenarnya dah balik awal, disebabkan susu anak tertinggal kat tempat kerja, jadi patah balik ambil susu anak,” katanya.
Wanita itu berkata, dia tidak menyangka, seharian dia bersama anaknya yang berusia 22 bulan dan suaminya berada di klinik tempoh hari kerana anak mereka tidak sihat merupakan kali terakhir tiga beranak itu meluangkan masa bersama.
“Sedekahkan Al-Fatihah buat suami saya tau. Suami saya meninggal di tempat kejadian. Muka dan barang suami penuh dengan tumpahan susu anak. Alhamdulillah suami saya kemalangan, tapi keadaannya sempurna seperti tidur,” katanya.
Tinjauan di ruangan komen mendapati ramai pengguna media sosial mengucapkan takziah dan mendoakan wanita itu agar sentiasa kuat.
“Tak mampu suruh sabar… Mampu doakan puan dan anak tabah serta kuat jalani hidup yang mendatang,” kata Ajuanie.
“Salam takziah. Semoga reda dan diberi ketabahan dengan ujian ini. Moga beliau ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” kata Nurul. – KOSMO! ONLINE














