LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta sekali lagi dijangka mempertaruhkan penyerang ‘kecemasan’, Mikel Merino menjelang pertembungan menarik Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Sunderland di Stadium of Light awal pagi Ahad ini.
Kecederaan dua penyerang, Viktor Gyokeres dan Kai Havertz yang dijangka pulih dua minggu lalu, membuatkan Arteta tiada pilihan dengan meletakkan Merino dalam kesebelasan utama berbanding bintang muda berusia 17 tahun, Andre Harriman-Annous.
Keberadaan Merino di posisi No. 9 sebenarnya membuatkan pertahanan lawan bingung kerana pergerakannya yang sukar diramal seperti dua jaringannya membantu Arsenal menewaskan Slavia Praha 3-0 di Liga Juara-Juara Eropah (UCL) kelmarin.
Kemenangan itu secara tidak langsung menjadi rekod baharu kelab selepas lebih 100 tahun apabila mencatat lapan kemenangan berturut-turut tanpa bolos sejak kali terakhir pada 1903.
Peminat-peminat Arsenal juga seakan bersetuju dengan tindakan Arteta meletakkan pemain tengah Sepanyol itu dengan melabelnya sebagai ‘penyerang No. 9 kecemasan terbaik dunia’.
“Jadikan saja dia penyerang utama, dia lebih tajam daripada mana-mana penyerang Arsenal dalam lima tahun kebelakangan ini,” tulis penyokong di media sosial.
Kemenangan ke atas Sunderland mampu mengukuhkan lagi kedudukan Arsenal di tangga teratas EPL apabila mereka kini berkelebihan enam mata ke atas Manchester City yang berada di tempat kedua.
Dalam pada itu, Leandro Trossard turut diberi peranan fleksibel di barisan hadapan, namun pemain Belgium berkenaan mengakui lebih selesa di posisi asalnya di sayap kiri.
“Posisi terbaik saya sekarang adalah sayap kiri. Namun, saya sentiasa bersedia jika pengurus mahukan di tempat lain kerana saya akan tetap berikan yang terbaik,” jelasnya. – AGENSI














