SAYA, Nazreen dan Eddy sampai di jeti Gapis Aqua Game di Kampung Telaga Nenas, Perak awal pada pagi itu. Tekong Along atau lebih di kenali di laman Facebook sebagai ‘Udang Belanak’ sedang mempersiapkan botnya untuk kami.
Kali ini, kami merancang untuk main banyak game termasuk casting, jigging, bottom, float dan fly fishing.
Jadi, peralatan memancing agak sarat untuk trip ini dan harus disusun baik-baik di atas bot untuk mengelakkan serabut.
Namun, itu semua bukanlah satu masalah besar kerana setiap teknik memancing, set khususnya hanya akan dipasang bergantung kepada kegunaan.
Bagi Along, lokasi, keadaan arus dan pasang surut air menjadi penentu.
Kami hanya serahkan kepada tekong dan mengikut sahaja saranannya untuk menggunakan set mana dan bila yang sesuai kerana dia lebih arif di perairannya.
Arus air
Ketika trip ini, arus agak perlahan dan lagi tiga hari menuju ke air besar dalam kalendar Hijrah.
Menurut Along, itu merupakan tarikh yang ideal untuk memancing dengan pelbagai pendekatan.
Terlalu besar air dan julat yang sangat berbeza untuk paras air pasang serta surut juga tidak beberapa sesuai untuk perairan ini.
Hal ini kerana apabila surut, banyak tempat tidak dapat diakses berikutan paras surut yang sangat rendah.

Ketika air besar pula, paras air pasang terlalu tinggi, ini bakal menenggelamkan kawasan bereba.
Lantas membuatkan ikan-ikan menyelinap jauh ke dalam struktur dan tidak dapat dihulur umpan atau gewang. Arus yang laju juga menyukarkan pemancing memainkan gewang dengan cantik.
Tarpon
Pada pagi itu, air masih lagi bertolak surut, jadi kami terus pergi ke kawasan siakap.
Apabila sampai sahaja sudah kelihatan beberapa buah bot diparkir di kawasan sekitar. Masing-masing bersauh menghadap kawasan reba kayu yang terserlah.
Ada satu pokok kayu mati berhampiran, dan di sekelilingnya kelihatan ikan bermain air dengan sangat rancak
“Tarpon,” ujar Along.
Dia menyarankan kami melayan tarpon terlebih dahulu sebagai sesi pemanas badan. Sememangnya amat seronok melayan kumpulan tarpon dan saiznya boleh tahan besar.
Apa sahaja dihulurkan pasti akan diterkam tidak kira soft plastic atau gewang saiz mikro, cuma peratusan untuk hook-up terlalu rendah.
Asyik terlucut sahaja kerana mulut tarpon yang keras itu menyukarkan mata kail menembusinya, melainkan jika membiarkan ia menelan gewang dan mata kail dapat mencangkuk kemas bahagian dalam mulutnya, tetapi tetap sukar kerana ikan ini juga pantas.
Mencuba reba
Arus mula bertolak pasang dan kumpulan tarpon tersebut tiba-tiba senyap. Kami naik ke atas lagi sebelum arus pasang naik menutupi kawasan bereba yang berpotensi.
Dua pilihan ketika itu, sama ada hendak main gewang atau menghulurkan umpan udang hidup dengan menggunakan pelampung.
Saya dan Nazreen memilih untuk guna gewang minnow dan soft plastic udang Chasebait, manakala Eddy dan Along bergilir bertukar-tukar antara gewang serta udang hidup.
Hasilnya, kami dapat beberapa ekor siakap saiz kecil.
Arus semakin pasang dan menenggelamkan kebanyakan kawasan bereba, lantas kami keluar dari kawasan tersebut bagi menuju ke ruang terbuka berhampiran Masjid Terapung Kampung Telaga Nenas.
Jigging dan tamok
Kawasan tersebut rata-ratanya dalam dan sesuai untuk jigging, kami cuba juga dalam satu jam mengunjun kepingan besi berat antara 20-40 gram, namun tiada yang sudi.
Sebelum ini, lokasi tersebut ada sahaja hasil yang pemancing lain dapat dengan jig seperti ikan jenahak, gerut-gerut, senangin dan sebagainya.
Memandangkan arus tidak beberapa laju, saya menyarankan kepada Along supaya cuba memancing ikan tamok pula kerana kami ada membawa bekalan roti untuk merasuahnya. Saya pula ingin mencuba pancing layang untuk spesies ikan itu.
Terus bot menuju ke kawasan rumah rakit kosong yang berhampiran.
Rasuah roti dilempar di kawasan sekitar, tetapi hanya kumpulan ikan tamok saiz kecil sahaja yang menghimpit, itu pun ia culas dan roti rasuah juga hanyut cepat akibat arus.
Main gewang
Memandangkan potensi untuk hasil terlalu rendah, sesi pancingan tamok kami tamatkan dan terus menuju ke kawasan siakap di alur utama estuari ini. Kawasannya lebih dalam dan banyak masa dapat digunakan untuk bermain gewang.
Gewang selaman cetek berprofil panjang (floating minnow) sangat sesuai digunakan untuk perairan ini terutamanya di celah-celah reba yang kelihatan di permukaan air.
Soft plastic pula lebih sesuai digunakan dengan cara ditenggelamkan terus di celah-celah bangkar kayu.
Dengan kedua-dua jenis gewang ini, kami berjaya menggoda beberapa ekor lagi ikan siakap putih.
Menjelang petang, air mula bertolak surut dan kami masuk jauh ke dalam sungai pula kerana ketika inilah reba-reba kayu yang menjadi mahligai ikan akan terserlah. Ikan akan berpindah ke kawasan alur dalam pula.
Lewat petang itu, kami hanya bersantai menggunakan umpan udang hidup dan pelampung. Beberapa ekor siakap putih kategori ‘cendol’, tetanda dan sumpit berjaya dinaikkan dengan menghulurkan umpan di celah-celah reba yang masih ada air di sekitarnya atau menghanyutkan pelampung berumpan di kawasan beralur dalam
Inilah pancingan di kawasan estuari, di mana keputusan dan hasil memancing banyak bergantung kepada keadaan pasang surut air.














