PETALING JAYA – Kumpulan Syarikat NCT meraikan mercu jaya berganda hari ini, melibatkan pelancaran program Sukuk Wakalah RM1 bilion dan pecah tanah Fasa 2 projek utamanya, iaitu Taman Perindustrian Pintar NCT (NSIP) di Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS).
Penampilan sulung Kumpulan dalam pasaran modal hutang Malaysia itu menyaksikan penglibatan Maybank sebagai pelanggan terbitan pertama sukuk tanpa pernarafan bernilai sehingga RM390 juta.
Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Seri Yap Ngan Choy berkata, pihaknya sukacita untuk bekerjasama dengan Maybank sebagai rakan kerjasama dalam program Sukuk Wakalah, inisiatif penting yang mengukuhkan kedudukan kewangannya.
“Program sukuk ini akan memberi kami tahap fleksibiliti lebih tinggi untuk meneroka peluang baharu, mendorong kami untuk mencapai fasa pertumbuhan seterusnya, sambil terus menjana nilai mampan bagi pihak-pihak berkepentingan,” katanya dalam kenyataan sempena majlis pelancaran.
Majlis sama turut menyaksikan acara pecah tanah NSIP Fasa seluas 732.5 ekar dengan nilai pembangunan kasar bernilai RM2.5 bilion.
Ia akan meneruskan kejayaan Fasa 1, menyediakan komponen perindustrian serupa dengan bidang tanah lebih luas dan infrastruktur yang ditambah baik untuk memenuhi keperluan industri teknologi tinggi, logistik, dan pembuatan.
Fasa 2 dijangka siap menjelang 2029.
Ngan Choy menambah, dengan skala dan jangkaan bagi projek berkenaan, pihaknya bertekad untuk memastikan setiap fasa disiapkan dalam jangka masa yang ditetapkan sambil terus mencorakkan masa depan perindustrian negara.
“Pencapaian ini membawa kita lebih dekat kepada ekosistem pintar, lestari, dan berdaya saing di peringkat global yang akan mengukuhkan sektor ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE














