fbpx
HAMILTON masih gagal menaiki podium dengan kejayaan memenangi sprint GP China menjadi satu-satunya pencapaian musim ini. - AFP

Hamilton terima semua kritikan pedas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LONDON – Lewis Hamilton menerima segala kritikan yang dilemparkan terhadap keputusan prestasi yang tidak memberangsangkan pada musim sulungnya bersama Ferrari.

Pemandu Britain itu mengakui orang luar tidak akan memahami sepenuhnya cabaran yang dilaluinya sebaik melangkah masuk menyertai pasukan Itali tersebut.

Perpindahan juara dunia tujuh kali Formula Satu (F1) itu dari Mercedes ke Ferrari pada 2025 dilihat sebagai permulaan semula kariernya selepas penurunan prestasi sejak beberapa musim terakhir.

Namun, sehingga kini, kemenangan dalam perlumbaan sprint pada Grand Prix (GP) China menjadi satu-satunya kejayaannya dalam kempen 2025.

Hamilton, 40, mengakui ada ketika dia kelihatan bergelut, namun tetap yakin kejayaan akan tiba apabila semakin serasi bersama pasukan meskipun peluang menaiki podium sulung bersama Ferrari terlepas di GP Mexico.

“Tidak ramai yang benar-benar faham proses menyesuaikan diri dengan pasukan baharu. Hanya apabila berada di dalam pasukan itu, barulah anda faham bagaimana ia berfungsi.

“Walaupun saya sudah lama dalam F1, apabila tiba di sini, ia tetap sesuatu yang berbeza. Jadi saya tidak salahkan sesiapa yang tidak memahaminya.

“Saya cuma fokus kepada perkara yang boleh saya kawal seperti persediaan, kerjasama dengan pasukan serta bagaimana saya hadir setiap hari dengan sikap positif,” katanya.

Hamilton turut mendedahkan bahawa komunikasi dan perbezaan budaya di Ferrari merupakan antara cabaran terbesar yang perlu diatasi sambil menyedari proses membina kejayaan memerlukan masa dan kesabaran. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI