PETALING JAYA – Pas bercadang memfailkan semakan kehakiman bagi menghentikan Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART 2025) yang ditandatangani antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) pada 26 Oktober lalu.
Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Pas juga bercadang mengadakan forum bagi menghimpunkan tenaga profesional dan ahli akademik untuk membongkar implikasi perjanjian tersebut.
“Pas tidak menolak kemungkinan untuk mempertimbangkan beberapa langkah bagi memastikan tindakan menggadaikan kedaulatan negara melalui perjanjian ini dapat dihentikan.
“Antaranya menggerakkan Himpunan Mega ‘Turun Anwar 2.0’ sebagai suara rakyat mempertahankan kedaulatan negara,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, Ahmad Fadhli berkata, Pas memantau serius perkembangan berkaitan ART yang beliau dakwa mendapat tentangan meluas pelbagai pihak termasuk cendekiawan, ahli akademik dan pakar undang-undang.
Katanya, Pas menyeru rakyat Malaysia bersama mempertahankan maruah kedaulatan negara daripada sebarang bentuk penjajahan ekonomi baharu yang terselindung di sebalik nama perdagangan dan digitalisasi. – KOSMO! ONLINE














